"Sebarang perdebatan dan persoalan di dunia blog mencerminkan keinginan rakyat untuk mengembalikan hala tuju negara kepada landasannya yang sebenar. Sekian lama dibungkam suara-suara berani muncul mencabar naratif sang penguasa." Anwar Ibrahim

Tuesday, December 22, 2009

Konvensyen Berjaya, Muafakat Dijalin!

dr yususf1dr yusuf2

(foto ehsan Suara Keadilan dan Malaysiakini)

Alhamdulillah Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama berlangsung dengan jayanya. Pendokong Pakatan Rakyat, dari ketiga-tiga komponen berduyun-duyun hadir semenjak dari pagi lagi demi untuk menyaksikan sendiri hari bersejarah ini. Mereka sedar belum pernah ada, suatu peristiwa yang begitu bermakna ditunjangi hasrat dan cita-cita luhur; agar terlaksana Perubahan, demi kesejahteraan rakyat sekaligus melonjakkan kembali Malaysia di persada.

Hari ini juga satu dokumen penting yang dikenali sebagai Dasar Bersama Pakatan Rakyat dilancar dan diedarkan kepada umum. Bersemangat sekali mereka meneliti dan menyelak helaian demi helaian kerana rakyat sedar, kesungguhan ketiga-tiga parti mencari titik persamaan, mengolah agenda dan merangka dasar, yang bukan sahaja menggugat pimpinan umno-barisan nasional, namun juga didasari keikhlasan mengembalikan negara ke landasan sebenar. Dokumen ini merangkul bersamanya Semangat Perlembagaan Persekutuan dan Pemahsyuran Kemerdekaan. Ianya merupakan kesaksian serta bukti kepada tekad Pakatan Rakyat untuk memerdekakan rakyat dari kebobrokan dan memastikan Keadilan untuk semua.

Pada sebelam malamnya pula, kehadiran ulama tersohor, Syeikh Yusuf al Qaradawi disambut kira-kira 4,000 hadirin yang memenuhi ruang solat Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam untuk mendengar syarahannya. Dr Yusuf yang tiba kira-kira jam 7 petang, kemudiannya mengimamkan solat maghrib. Ilmuan Islam asal Mesir itu mengingatkan agar sentiasa berhati-hati dengan “orang munafik yang sentiasa menyebarkan fitnah dalam masyarakat Islam.” Saya malahan terharu apabila beliau menyebut nama saya, ditambah dengan perkataan “al-muftara alaih” – yang sedang difitnah. Katanya, pendustaan kaum munafik di zaman ini “lebih dahsyat daripada zaman silam”. Allah mendedahkan kejelikan mereka kerana menjatuhkan martabat orang lain. Menurutnya, terdapat ayat-ayat dalam surah Al-Taubah yang menjelaskan sikap, sifat dan ciri-ciri orang munafik. “Mereka menuduh tanpa menampilkan saksi bagi tuduhan tersebut. Ia perlu ditampilkan empat orang saksi. Tidak menampilkan empat orang saksi, maka mereka adalah sesat dan dusta,” katanya.

ANWAR IBRAHIM

No comments: